JABATAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN

LATAR BELAKANG

Sejajar dengan perkembangan pesat dalam dunia digital yang memerlukan sokongan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), tidak mustahil konsep teknologi sedemikian turut mempengaruhi perkembangan bidang pendidikan masa kini. Kajian menunjukkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pendidikan mampu merangsang pelajar yang akhirnya berupaya menaikkan kadar kehadiran, meningkatkan gred pelajar dan mengurangkan kes ponteng sekolah.

Selain itu, pendidik turut menikmati manfaat komputer peribadi yang membolehkan mereka memperoleh banyak tindak balas daripada pelajar selain meningkat tahap pendidikan. Selaras dengan itu, Kementerian Pendidikan, khasnya Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah menubuhkan Unit Teknologi Maklumat (UTM) pada bulan Jun 1993 di semua Maktab Perguruan di Malaysia. Pada akhir tahun 1994 Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah membekalkan sejumlah 31 buah komputer dan 4 buah pencetak kepada Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang bagi membolehkan maktab ini menubuhkan 1 buah makmal komputer. Pada bulan Oktober 1996, Unit Teknologi Maklumat berupaya membeli sebayak 26 unit komputer lengkap dengan multimedia bagi menggantikan komputer-komputer yang telah lama dan tidak berfungsi.

Pada Jun 1998, UTM telah memasang talian ISDN bagi melicinkan pencapaian ke internet. Pada 17 November 1998, pihak BPG telah membekalkan 6 unit komputer multimedia dengan 1 set server, 2 printer dan perisiannya bagi melengkapkan bilik simulasi bagi latihan Proses Pengajaran dan Pembelajaran Sekolah BESTARI.

Pada pertengahan tahun 2000, Bahagian Pendidikan Guru telah membekalkan 6 buah komputer multimedia dalam program SAMPEL lengkap dengan talian suwa (lease line) yang membolehkan maktab ini meluaskan pengguna rangkaian setempatnya kepada Ketua-Ketua Jabatan, makmal komputer dan beberapa personel tertentu.

Pada Ogos 2000 satu pakej sewaan komputer dengan MIMOS telah dilaksanakan dan maktab ini dibenarkan menyewa sejumlah 35 buah komputer multimedia menjadikan maktab ini mempunyai 4 buah makmal multimedia. Pada Mac 2001 pihak ‘Intel Technology Sdn. Bhd’ Pulau Pinang telah menaik taraf makmal komputer yang telah sedia ada yang disumbangnya pada tahun 1997 dengan menambah 20 buah ‘Work Station” Intel Pentium IV dan sebuah Server yang keseluruhan nilainya ialah RM180,000.00.

Pada 30 November 2001, Bahagian Pendidikan Guru, telah membekalkan jaringan kampus bernilai RM2 juta kepada Maktab perguruan Persekutuan Pulau Pinang untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran. Jaringan kampus ini berkongsi Talian Suwa dengan Projek SMP yang dikendalikan oleh Bahagian Sistem Maklumat Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 2002, Sistem Jaringan Kampus Maktab telah dilaksanakan untuk semua jabatan. Info Kiosk maktab telah dilancarkan pada 23 Oktober 2002.

Pada pertengahan tahun 2005, Kementerian telah membekalkan talian ”School Net” dengan kelajuan 2MBps untuk kegunaan warga institut. Institut juga kemudiannya dilengkapi dengan akses internet secara wifi pada tahun berikutnya. Kemudahan ini membolehkan warga institut mengakses internet di kawasan-kawasan ”hot- spot” yang dibekalkan dengan kemudahan wireless Access Point.

Pada pertengahan tahun 2009, kerja-kerja naiktaraf 3 Makmal Komputer dan bilik server telah dilaksanakan dan Kementerian telah membekalkan talian suwa yang baru iaitu KPM NET yang berkelajuan 4Mbps. Talian ini telah disambungkan ke semua makmal komputer dan bilik pensyarah melalui kabel rangkaian yang telah sedia ada atau melalui wifi.

Objektif

· Memupuk sikap positif terhadap penggunaan komputer di kalangan warga maktab

· Melatih warga maktab supaya berkeupayaan menggunakan komputer dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan khususnya tentang penggunaan program-program aplikasi yang boleh digunakan dalam tugas harian