JABATAN SAINS SOSIAL

LATAR BELAKANG

Sebelum Ogos 1996, Jabatan Sains Sosial terdiri daripada unit-unit yang bertanggungjawab terhadap pengajaran mata pelajaran Pendidikan Seni, Sejarah Pendidikan Negara, Kajian Tempatan, Pendidikan Moral dan Ekonomi Rumah Tangga. Semua mata pelajaran tersebut ialah mata pelajaran elektif yang menekankan peningkatan profesionalisme bakal-bakal guru. Kaedah penilaian adalah berasaskan taksiran dan kerja kursus. Namun, keadaan ini telah berubah apabila pengambilan guru pelatih KDPM opsyen Kajian Tempatan, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Seni dimulakan pada Ogos 1996.

Sehubungan itu, mulai September 1996 dua unit baru telah dimasukkan di bawah Jabatan Sains Sosial untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan jabatan berterusan. Unit-unit tersebut ialah Unit Kemahiran Hidup dan Unit Perdagangan Perakaunan. Mulai 1998, Unit Muzik dimasukkan ke dalam jabatan ini sementara Unit Pendidikan Moral dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. Unit Perdagangan dan Perakaunan telah dimansuhkan pada tahun 1998 berikutan tiada pengambilan baru. Selain itu, Jabatan ini juga terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran elektif seperti Pendidikan Komuniti dan Pendidikan Pengguna.

Sehingga tahun 1999, unit-unit yang dikekalkan dalam jabatan ini ialah Kajian Tempatan, Kemahiran Hidup, Pendidikan Seni dan Muzik. Namun, pada tahun 2000, Unit Muzik telah dinaikkan ke taraf Jabatan dan dikeluarkan daripada Jabatan Sains Sosial. Pada tahun 2001, diwujudkan satu lagi unit iaitu Unit Reka Cipta.

Akibat daripada perkembangan sistem pendidikan dan perubahan kurikulum sekolah, Jabatan Sains Sosial juga telah berkembang dengan penambahan empat unit baru iaitu Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Negara Bangsa, Pendidikan Alam Sekitar dan Penyuburan Diri Insan Guru mulai tahun 2005. Selain itu, tenaga pensyarah jabatan ini juga terlibat mengajar kursus-kursus yang dianjurkan bersama antara BPG-UUM seperti subjek Etika Dalam Profesion Keguruan (’Ethics in Teaching Profession’), Kenegaraan Malaysia dan Hubungan Etnik.

Mulai tahun 2007 pula, Jabatan Sains Sosial telah dipertanggungjawabkan melatih guru-guru sekolah rendah dan menengah bagi program KDP Bestari yang melibatkan mata pelajaran Kemahiran Hidup, Kajian Tempatan dan Sejarah.

Sesuai dengan perkembangan semasa, mulai tahun 2008 struktur organisasi Jabatan Sains Sosial disusun semula. Tiga bidang dikenal pasti sebagai komponen utama jabatan, iaitu bidang Sains Sosial, Pendidikan Seni dan Kemahiran Hidup. Bermula tahun 2010, Jabatan Sains Sosial mula melatih pelajar-pelajar guru Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Sains Sosial. Mulai Tahun 2011, Jabatan Sains Sosial telah diberi amanah untuk melatih pelajar-pelajar guru bagi kumpulan PPISMP dalam bidang pengkhususan Sejarah. Selain itu, Jabatan Sains Sosial juga dipertanggungjawabkan untuk mengajar subjek WAJ 3106 Hubungan Etnik kepada semua pelajar guru PISMP Tahun 2 Semester 1 dan WAJ 3107 Seni dalam Pendidikan kepada semua pelajar guru PISMP Tahun 2 Semester 2

Objektif

i. Menghasilkan pelajar berpengetahuan dan mahir dalam pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Sains Sosial, Sejarah, KemahiranHidup,PendidikanSiviks dan Kewarganegaraan, Hubungan Etnik, Pendidikan Negara Bangsa, dan Pendidikan Seni, serta berpengetahuan dalam mata pelajaran Penyuburan Diri Insan Guru.

ii. Melahirkan pelajar yang bersikap positif, berakhlak mulia, bersemangat perpaduan dan berperasaan bangga sebagai rakyat Malaysia.

iii. Mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru.

iv. Melaksanakan kurikulum Sains Sosial, Sejarah dan mata pelajaran elektif melalui penyampaian pengajaran berasaskan Sukatan Pelajaran sepenuhnya, menjalankan pelbagai aktiviti pembelajaran bersama pelajar sama ada dalam bilik kuliah atau melalui kajian lapangan serta membimbing pelajar dalam praktikum berdasarkan prinsip-prinsip pencerapan klinikal.

v. Merancang dan melaksanakan program peningkatan profesionalisme bagi pensyarah Jabatan.

vi. Berusaha secara berpasukan untuk mencapai visi IPG sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru.