JABATAN PENGAJIAN MELAYU

LATAR BELAKANG

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah lama termaktub dan diperaku dalam Perlembagaan Persekutuan. Perakuan ini memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu yang pesat sehingga diiktiraf sebagai bahasa rasmi yang moden dan dinamik. Dalam bidang pendidikan, bahasa Melayu mengambil peranan sebagai bahasa pengantar di sekolah, institusí pendidikan guru, dan institusi pendidikan tinggi. Di institut perguruan khususnya, selain menjadi bahasa pengantar, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib kepada semua pelajar. Kurikulum yang diguball merangkumi pelbagai mandala ilmu akan dapat melahirkan guru yang mahir berkomunikasi dan berketerampilan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar di sekolah kelak melalui penggunaan pendekatan, kaedah dan teknik yang terkini.

Dalam era globalisasi yang menyaksikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara meluas, penggunaan bahasa Melayu terus mapan, sesuai dengan peranannya sebagai bahasa penyampaian, pemerolehan, penulisan dan penterjemahan ilmu tinggi dalam pelbagai bidang. Oleh itu, Jabatan Pengajian Melayu akan terus berperanan melahirkan guru yang cekap, kreatif, progresif dan berkesan dalam menggunakan bahasa Melayu bagi memenuhi aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan bagi merealisasikan modal insan minda kelas pertama.

OBJEKTIF

Menjalankan fungsi sebagai pendidik guru kepada pelajar dalam bidang bahasa Melayu dan ikhtisas Pendidikan Bahasa Melayu bagi membolehkan mereka:

  • • Memahami akan kenuranian bahasa bagi memperkembangkan potensi berbahasa Melayu secara menyeluruh dan bersepadu;
  • • Menguasai mandala ilmu bahasa dengan penerapan kepada ilmu kebahasaan, sosiobudaya, dan kemahiran pedagogi Bahasa Melayu;
  • • Menggunakan bahasa Melayu sebagai satu wahana ilmu dan pewarisan nilai kehidupan bermasyarakat;
  • • Menggunakan kemahiran berbahasa Melayu yang betul dalam pelbagai konteks penggunaan bersesuaian dengan taraf sosial, situasi dan fungsi;
  • • Menggunakan ilmu bahasa Melayu dan pedagogi Bahasa Melayu di dalam bilik darjah;
  • • Menggunakan ilmu dan kemahiran kokurikulum bahasa Melayu di sekolah;
  • • Menunjukkan citra guru Bahasa Melayu yang berketerampilan berlandaskan akhlak yang terpuji dan sentiasa bermuhasabah diri.

Berperanan sebagai penjawat awam yang berintegriti bagi membantu institut dalam bidang kebahasaan melalui:

  • • Melaksanaan kursus-kursus akademik dalam bidang bahasa dan budaya Melayu kepada pelajar;
  • • Melaksanaan pentaksiran yang telus bagi kursus-kursus akademik dalam bidang bahasa Melayu;
  • • Melaksanaan kegiatan kokurikulum bahasa dan budaya Melayu;
  • • Merancangan dan pelaksanaan kegiatan jabatan yang sistematik selaras dengan hasrat institut;
  • • Khidmat bimbingan kebahasaan kepada kakitangan akademik, bukan akademik, dan pelajar;
  • • Peningkatan tahap profesionalisme pensyarah jabatan;
  • • Pelaksanaan penyelidikan bahasa ke arah penyuburan budaya ilmu.